Friday, August 15, 2008

SYA'BAN

salam.


KEISTIMEWAAN SYA'BAN


Bulan Syaaban adalah termasuk bulan yang dimulia Allah dengan keistimewaan yang tersendiri. Ia adalah sebagai bulan memperbanyakkan amal ibadah, melakukan persiapan fizikal dan mental untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan.


Bulan Syaaban perlu diisi dengan pelbagai ibadah terutama puasa sunat dan sesiapa yang mempunyai hutang puasa Ramadan yang lalu, hendaklah disegerakan mengqada’nya sebelum masuk ke bulan Ramadan yang tidak berapa lama lagi akan tiba. Banyak hadis-hadis yang menyebutkan tentang kelebihan dan kemuliaan bulan Syaaban. Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebutkankan:


“Bulan Rejab itu bulan Allah, Bulan Syaaban itu bulanku (bulan nabi), dan bulan Ramadan itu bulan umatku.”


Iman Al Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan hadis daripada Aishah r.a. di mana beliau telah berkata: Nabi s.a.w tidak pernah berpuasa (selain puasa Ramadan) dengan banyak melainkan di dalam bulan Syaaban di mana beliau telah berpuasa pada seluruh bulan Syaaban.


As-Sheikh Qadir Al Jalani telah menukilkan di dalam kitab beliau Al Qhunyah :

“Telah diberi tahu kepada kami oleh As Syeikh Abu Nasr Muhammad daripada bapanya Abu Ali Al Hussin, telah diberitahu kepada kami oleh Abu Hassan Ali bin Muhammad bin Umar bin Hafs Ja’far Al Muqri dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Abu Al Fath Al Hafiz Umar diberitahu kepada kami oleh Abu Bakar Muhammad bin Abdullah As Syafi’I, Diberitahu kepada kami oleh Ishaq bin Al Hassan, diberitahu kepada kami oleh Abdullah bin Salamah, Diberitahu kepada kami oleh Malik bin Anas daripada Abu An Nadhar, hamba kepada Umar bin Abdullah daripada Abu Salamah bin Abdur Rahman daripada Aisyah r.a. bahawa beliau telah berkata:

“Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa sehingga kami mengatakannya
bahawa beliau tidak berpuasa dan berbuka sehingga kami mengatakannya tidak berpuasa dan kami tidak melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasanya sebulan melainkan di dalam bulan Puasa dan Kami tidak melihat baginda s.a.w berpuasa di dalam sesuatu bulan melebihi daripada puasa baginda s.a.w di dalam bulan Sya’ban.”

(HR Bukhari)


Daripada Malik rahimullah dan telah diberi tahu kepada kami oleh Abu Nasr daripada Muhammad daripada bapanya dengan isnad-isnad daripada Hisyam bin Urwah daripada Aishah r.anha katanya: Rasulullah s.a.w telah berpuasa sehinggakan kami mengatakannya tidak berbuka dan berbuka sehinggakan kami mengatakanya tidak berpuasa dan adapun puasa yang paling disukai oleh baginda s.a.w selepas puasa di bulan Ramadan adalah puasa di dalam bulan Sya’ban. Maka akupun berkata : “Ya Rasulallah!, aku melihat kamu berpuasa di dalam Sya’ban (dengan banyaknya ).” Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Ya Aishah, sesungguhnya ianya bulan di mana Malaikat Maut menghapuskan nama orang yang akan diambil rohnya di sepanjang tahun itu maka sesungguhnya aku amat suka jika beliau tidak mengambil rohku melainkan di dalam bulan Sya’ban.


Telah diberitahu kepada kami oleh Abu Nasr daripada Muhammad daripada bapanya dengan isnad-isnad daripada Atha bin Yusar darupada Ummi Salamah r.a. katanya: Tidaklah Rasululah s.a.w berpuasa di dalam sesuatu bulan selepas bulan Ramadan melebihi puasanya di dalam bulan Sya’ban.


Telah diberitahu kepada kami oleh Abu Nasr daripada bapanya dengan isnad daripada Thabit daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.w telah ditanya mengenai puasa yang afdal. Baginda s.a.w telah bersabda maksudnya; Puasa Syaban sebagai menghormati (membesar-besarkan kedatangannya ) bulan Ramadan.


Daripada Abdullah bin Umar r.a daripada Nabi s.a.w sabdanya yang bermaksud:

“Lima waktu tidak ditolak sesuatu doa itu, pertama malam Jumaat, kedua malam 10 Muharram, ketiga malam Nisfu (pertengahan bulan) Sya’aban, keempat pada malam Aidul Fitri dan kelima malam Aidul Adha.”


Berdasarkan hadis tadi, eloklah kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w mencontohi amalan baginda iaitu membanyakkan puasa sunat ini. Semoga ia menjadi satu latihan atau persiapan untuk melaksanakan puasa pada bulan Ramadan yang penuh barakah.


Bagaimanapun jika ada yang masih belum mengqadha hutang puasa yang lalu, segeralah menunaikannya sebelum masuk bulan Ramadhan, kerana jika telah lewat bulan Ramadan, maka dikenakan fidyah selain daripada mengqadha banyak hari yang ditinggalkan.


wallahu'alam


renung2kan dan selamat beramal...

No comments: